Monday, January 25, 2010

Kecerlaluan personaliti


Personaliti secara kebiasaannya diberi maksud mengenai diri manusia itu dan diberi definisi mengikut kecenderungan masyarakat. Ia adalah kepentingan sosial dalam masyarakat itu sendiri dalam proses tingkah laku. Dikategorikan pula sebagai 'baik' atau sebaliknya. Malah dari aspek psikiatri, terdapat sesetengah orang gagal mengenal pasti personalitinya sendiri berikutan fenomena halusinasi mahupun delusi. Kedua-dua fenomena itu membuatkan penghidapnya gagal membezakan realiti dan fantasi.

Secara umumnya, para pengkaji bersepakat mengatakan bahawa personaliti merupakan ciri-ciri yang dinamik dan tersusun dimiliki oleh seseorang yang secara unik mempengaruhi kognitif, motivasi dan tingkah laku dalam pelbagai situasi. Oleh itu, ramai pengkaji berpendapat kajian personaliti merupakan analisis saintifik ke atas perbezaan individu yang melibatkan aspek kenapa dan bagaimana manusia bertindak secara unik dan kreatif terhadap perubahan persekitaran. Fokus utama mereka adalah untuk menghasilkan teori-teori yang menjelaskan cara bertindak balas yang unik bagi setiap individu terhadap persekitaran fizikal, sosial dan budaya. Penjelasan tersebut membawa kepada andaian yang diuji dan disokong oleh bukti yang empirikal.

Hakikat yang perlu disedari adalah penyakit atau gangguan mental memerlukan rawatan dan penjagaan yang lama dan berterusan. Penyakit mental adalah penyakit yang diakibatkan oleh gabungan pelbagai faktor fisiologi, patologi dan psikologi. Antara faktor penyebab penyakit mental sukar dirawat atau dipulihkan serta-merta adalah kerana kecederaan kepada otak, tekanan perasaan yang berpanjangan, gangguan emosi akibat konflik yang tidak dapat diselesaikan, kemurungan yang berkekalan, rembesan hormon yang tidak normal, gangguan traumatik, penyalahgunaan dadah dan gangguan neurosis yang kronik.

Skizofrenia, kemurungan, kecelaruan personaliti adalah penyakit psikiatri. Bagaimanapun, skizofrenia adalah di antara penyakit jiwa yang serius. Antara tanda-tandanya, pesakit sukar membezakan dunia nyata dengan dunia fantasi. Pemikiran bercampur aduk, semakin tidak nyata, manakala emosi menjadi kabur dan tidak teratur. Faktor penyebab adalah keturunan atau genetik dan kerap ditemui dalam keluarga yang mempunyai sejarah menghidapnya. Individu yang mempunyai ibu atau bapa skizofrenia mempunyai risiko 45 hingga 50 peratus mewarisinya.

Kajian penyelidik mendapati, pesakit psikiatri mengalami ketidakseimbangan kimia dalam otak. Kajian meliputi kegagalan fungsi sistem penghantaran saraf otak iaitu saraf yang nenyalurkan komunikasi antara sistem saraf. saraf yang dimaksudkan adalah sitem dopamine, serotonin dan neurorepinephrine.

Antara gejala yang dialami oleh pesakit adalah perubahan emosi dan personaliti, perubahan pemikiran, perubahan presepsi dan pandangan serta kurang reaksi. Malah dikatakan amuk (mengamuk) juga merupakan penyakit psikiatri. Dalam budaya Melayu, seseorang itu dikatakan berani kalau sanggup melakukan apa-apa sahaja termasuk mengorbankan dirinya sendiri serta tidak menghiraukan bahaya yang mendatang. Dari aspek psikiatri, perlakuan itu lebih menjurus kepada kegagalan otak berfungsi dengan baik (tidak normal).

BERHATI-HATILAH DENGAN REALITI, KERANA IA BERKEMUNGKINAN
SEKADAR FANTASI...

sumber : http://www.malaysiamaya.com