Thursday, November 27, 2008

Kolokium Pembimbing Rakan Siswa Peringkat Kebangsaan

Tarikh : 21 - 24 November 2008
Tempat : Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah.

Pada 21 hingga 24 November yang lepas, Universiti Putra Malaysia telah menghantar lima orang peserta yang terdiri daripada Saudara Mohd Noh Ismail, Presiden Kelab Rakan Siswa UPM beserta empat orang exco iaitu Saudara Muhammad Zuhairi Zolkiplee, Saudara Mahran Daem, Saudari Siti Farasuhana Amdan dan Saudari Shahidatun Dalila Zakaria ke Universiti Utara Malaysia untuk menghadiri Kolokium Pembimbing Rakan Siswa peringkat kebangsaan anjuran Pusat Kaunseling dan Kerjaya UUM dengan kerjasama Majlis Kaunseling Universiti-universiti Malaysia. Turut diadakan pada masa yang sama ialah Simposium Kaunselor IPT peringkat kebangsaan di mana UPM diwakili oleh Ketua Seksyen Kaunseling dan Kerjaya UPM, En. Zaliazam serta dua orang pegawai psikologi iaitu Pn. Mazila dan Pn Kamariah.





Pelbagai pengisian menarik disediakan oleh pihak penganjur bagi mendedahkan kepada peserta kolokium seperti pengetahuan am mengenai masalah remaja masa kini terutama berkaitan penagihan dan pengedaran dadah, peranan pembimbing rakan siswa, serta kaedah pembinaan modul secara kreatif oleh penunjuk ajar berpengalaman. Segala ilmu yang diperolehi sangat berguna dan diharapkan dapat diaplikasikan sepanjang menjadi pembimbing rakan siswa.

Selain menimba ilmu baru, peserta juga dapat bertukar-tukar pendapat dan pengalaman dengan para pembimbing rakan siswa dari IPTA/IPTS lain yang tidak kurang hebatnya. Sesungguhnya usaha pihak penganjur sangat bermakna dan diharapkan segala kekurangan sepanjang kolukium kali ini dapat diperbaiki pada masa mendatang dan pihak Universiti Putra Malaysia berharap agar suatu hari nanti dapat menjemput rakan-rakan PRS dari IPTA/IPTS seluruh Malaysia bertandang dan berkampung di UPM dalam satu lagi majlis ilmu seperti ini.

p/s : Gambar-gambar sepanjang kolokium masih dalam proses pengumpulan dan akan dimasukkan kemudian. Harap maklum.

Wednesday, November 19, 2008

KURSUS KEPIMPINAN SMK ABDUL RAHMAN TALIB

Tarikh : 17 - 19 November 2008
Tempat : SMK Abdul Rahman Talib, Teluk Intan, Perak.

Pada 17 - 19 November 2008, Kelab Rakan Siswa Universiti Putra Malaysia telah mengadakan Kursus Kepemimpinan Unit Beruniform, Kelab dan Persatuan di SMK Abdul Rahman Talib, Teluk Intan, Perak. Kursus ini diadakan bagi memenuhi jemputan pihak sekolah dengan harapan fasilitator-fasilitator KRS yang berpengalaman dapat memberi pendedahan kepada pemimpin-pemimpin pelajar tentang kemahiran kepemimpinan dan pengurusan organisasi yang berkesan. Kursus ini juga bertujuan untuk memupuk keyakinan dan menyerlahkan bakat kepimpinan sekolah tersebut. Adalah diharapkan dengan pengalaman dan ilmu yang diperolehi para pelajar sepanjang kursus ini dijalankan dapat membantu mereka menguruskan dan merancang aktiviti badan beruniform, kelab dan persatuan yang diterajui bagi melahirkan pelajar yang aktif dari segi kuriklum dan kokurikulum.






Program ini telah mendapat kerjasama yang amat baik daripada pihak sekolah terutamanya kaunselor sekolah, En. Roshaimi bagi memastikan kelancaran sepanjang kursus ini diadakan. Sepanjang kusus ini dijalankan, pelbagai aktiviti telah dijalankan seperti Latihan Dalam Kumpulan (LDK), Team Building, Pembentangan Kumpulan, Ceramah Perancangan Progran dan Kesetiausahaan, Eksplorasi Pemimpin Terbilang, Bengkel Amali Perancangan Program, Kawad Kaki, Owling dan sebagainya. Dengan usaha para fasilitator dan kemahiran yang digunakan, sebahagian para peserta yang pada mulanya begitu pasif berjaya ditingkatkan tahap motivasi mereka untuk lebih berani bersuara dalam mengutarakan pendapat.

KEM ASAS PEMBIMBING RAKAN SISWA

Tarikh : 10 - 14 November 2008
Tempat : Sukida Resort, Semenyih, Selangor.

Seramai 40 orang ahli Kelab Rakan Siswa, Universiti Putra Malaysia telah mengikuti Kem Asas Pembimbing Rakan Siswa pada 10 – 14 November 2008 bertempat di Sukida Resort, Semenyih, Selangor yang dianjurkan oleh Kelab Rakan Siswa, Universiti Putra Malaysia dengan kerjasama Seksyen Kaunseling dan Kerjaya, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Universiti Putra Malaysia.




Kem ini diadakan untuk mendedahkan kepada peserta berkaitan kemahiran asas menolong, kemahiran supranasional dan kemahiran interpersonal dalam menyiapkan diri peserta dengan ilmu untuk membantu serta membimbing pelajar-pelajar Universiti Putra Malaysia ke arah mencapai kesempurnaan swadiri

Antara aktiviti yang dijalankan adalah ceramah, latihan dalam kumpulan, Explorasi,kayak, jungle treaking dan memasak secara bergotong – royong.

Kem ini telah menampilkan gandingan mantap kaunselor-kaunselor daripada Seksyen Kaunseling dan Kerjaya, Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Putra Malaysia seperti Encik Zaliazam Mohamad, Puan Kamariah Derasol, Puan Kamelia Omar dan Cik Syarifah Sheril Azlin Bin Syed Bahrin dalam usaha membantu peserta merealisasikan objektif penganjuran kem ini.