Sunday, March 29, 2009

BERBAHAGIALAH


Berbahagialah. Berbahagialah dengan diri kamu sendiri. Bersyukurlah dengan apa yang dikurniakan Tuhan untukmu. Sedarilah bahawa manusia itu unik, tiada satupun manusia di dalam dunia ini yang sama. Percayalah. Hatta kembar paling seiras dalam dunia pun berbeza cap jarinya. Jangan kita jadi seperti orang lain, kerana hingga hujung nyawa pun tidak akan jadi. Jadilah diri kita sendiri. Jangan kita lihat orang lain semuanya sempurna, kita pula semuanya serba tak kena. Ketahuilah bahawa sesungguhnya Tuhan itu Maha Adil, dicipta setiap makhluk ada kelebihan ada kekurangan. Hanya Dia yang Maha Sempurna, Maha Kaya, Maha Bijaksana dan Maha Besar dalam segala-galanya. Kita sebagai makhluk sepatutnya bersyukur, bukannya kufur. Diberi betis nak peha. Tapi Tuhan Maha Pemurah, mana yang Dia berkenan nak beri, Dia beri. Tak seperti manusia yang menjadi hamba manusia, minta lebih sikit dari tuannya semestinya kena belasah. Itu pun kita rasa tak cukup lagi dengan apa yang dah dapat.

Tahu tak kenapa ada orang yang buta, bisu, pekak dan macam-macam kecacatan sejak lahir? Kata seorang ustaz, mereka tak sanggup menerima amanah untuk melihat, mendengar, bercakap dan sebagainya semasa membuat perjanjian dengan Tuhan sebelum rohnya ditiup ke dalam rahim ibunya untuk dilahirkan ke dunia. Tapi kita dengan bangganya menerima segala amanah, terima semua pancaindera kononnya mampu menjadi hamba yang baik. Tapi lihatlah diri kita sekarang, adakah kita mampu tunaikan janji kita pada Tuan Punya Dunia? Tepuk dada tanyalah iman. Sebesar mana pun pangkat, sebanyak mana pun harta, sekuat mana pun kita, seramai mana pun anak dan saudara, sebaik berpisah jasad dan nyawa, hanya amalan yang dibawa. Baik amalan, baiklah kita. Buruk amalan, buruklah nasib kita di sana. Banyak harta, tinggi pangkat, ramai kerabat bukanlah hakikat sebenar kebahagiaan. Itu hanya bahagia secara zahirnya tetapi bahagia yabg sebenar ada dalam diri yang terpendam bagai mutiara di lautan nurani.

Oleh itu, berbahagialah kita dengan diri ini. Diri yang bahagia membawa jiwa yang tenang. Jiwa yang tenang memiliki hati yang gembira dan seharusnya hati yang gembira perlu disusuli dengan kesyukuran pada Yang Esa. Tanda syukur itulah kita taat pada perintah-Nya, jauhi larangan-Nya. Semoga kita tergolong dikalangan orang-orang yang bahagia.

notakaki : Pentadbiran laman blog KRSUPM memohon maaf kerana telah lama tidak mengemaskini blog ini disebabkan terdapat sedikit masalah teknikal iaitu tidak boleh log in ke dalam akaun blogger. Namun demikian, masalah tersebut telah berjaya diatasi dan blog ini akan dikemaskini sekerap mungkin dengan pelbagai info, maklumat dan artikel untuk tatapan para pelawat sekalian. Terima kasih kerana mengunjungi blog ini.

Saturday, March 28, 2009

Laporan Kem Jalinan Kasih Menara Ilmu

Pada 20 hingga 22 Mac 2009 yang lalu, sekali lagi KRS telah berjaya menganjurkan satu program iaitu Kem Jalinan Kasih Menara Ilmu bertempat di Pusat Pemantapan Akidah Jakim, Jelebu, Negeri Sembilan. Program ini diadakan dengan kerjasama daripada Pejabat Daerah Jelebu, Pejabat Pelajaran Daerah Jelebu, Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan, Pejabat Ahli Parlimen Jelebu serta Pusat Pemantapan Akidah JAKIM Jelebu.



Di dalam kem ini, para peserta didedahkan dengan pelbagai LDK bertujuan untuk membentuk matlamat dan kaedah-kaedah untuk mencapai matlamat tersebut. Beberapa slot ceramah yang disampaikan oleh Encik Pauzi Abd Karim dan Encik Zaliazam Mohamad telah berjaya menarik minat para peserta dan memberi pelbagai input berguna kepada mereka.

Walaupun kehadiran peserta jauh lebih sedikit daripada jumlah sasaran, namun kem ini boleh dikatakan berjaya mencapai objektifnya. Bagi para fasilitator, kualiti lebih dipentingkan berbanding kuantiti supaya segala usaha yang dijalankan untuk memberi sumbangan kepada masyarakat dapat disempurnakan.



Perasmian majlis penutup telah disempurnakan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan iaitu YB Dato' Razak Mansor. Kem ini juga turut mendapat liputan media iaitu Akhbar Sinar Harian Edisi Melaka dan Negeri Sembilan(klik di sini).

Sunday, March 15, 2009

Kem Jalinan Kasih Menara Ilmu

Kelab Rakan Siswa akan menganjurkan Kem Jalinan Kasih Menara Ilmu bertempat di Pusat Pemantapan Akidah JAKIM, Jelebu, Negeri Sembilan. Program ini mendapat kerjasama daripada Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM, Pejabat Daerah Jelebu, Pejabat Pelajaran Daerah Jelebu, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Daerah Jelebu dan Pusat Pemantapan Akidah JAKIM.

Program ini akan berlangsung bermula daripada 20 - 22 Mac 2009 ini bertujuan untuk memberi motivasi kepada lebih kurang 100 orang anak-anak yatim dan miskin sekitar daerah Jelebu yang dipilih daripada lima buah sekolah yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun ini.

Majlis perasmian penutup akan disempurnakan oleh YB Dato' Razak bin Mansor, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan. Diharapkan agar ahli kelab KRS yang terpilih untuk menggalas tanggungjawab bagi menjayakan kem ini dapat mencapai ojektif yang telah dirangka. Pihak engurusan KRS mengucapkan SELAMAT MAJU JAYA.

Monday, March 2, 2009

Sambutan Menggalakkan Bengkel Jom Bersahabat

Pada 28 Febuari 2009 yang lalu, Kelab Rakan Siswa bersama Unit Pembangunan Kendiri Pelajar, Seksyen Kaunseling dan Kerjaya UPM telah menganjurkan Bengkel Jom Bersahabat! bertempat di Dewan Jauhari, Kolej Kediaman KOSASS, UPM. Bengkel setengah hari tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelajar-pelajar UPM di mana jumlah peserta yang hadir adalah sekitar 200 orang. Jumlah kehadiran peserta jauh melebihi sasaran awal pihak penganjur iaitu sekitar 100 sehingga 150 orang peserta memandangkan pada hari tersebut banyak lagi program yang berlangsung di kolej-kolej kediaman dan kawasan sekitar UPM dan tambahan pula hari Sabtu merupakan hari untuk kursus kokurikulum berkredit.



Bengkel ini diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar UPM mengenai kemahiran dan tatacara yang sesuai dalam menjalani kehidupan dan pergaulan seharian bersama rakan-rakan dan sahabat taulan. Pelbagai kemahiran seperti kemahiran memulakan perhubungan dan kemahiran melayan serta mendengar ditunjukkan secara teori dan praktikal di mana dua slot pertama diisi oleh dua orang penceramah dan slot terakhir diisi dengan perbincangan menangangi isu berkaitan pergaulan. Ceramah pertama disampaikan oleh Tuan Haji Ahmad Fadzli Yusof, seorang motivator dan penulis yang semakin menempa nama dalam bidang motivasi manakala ceramah kedua pula disampaikan oleh Encik Yusoff Ahmad, konsultan yang juga pensyarah kanan di Jabatan Pendidikan Kaunselor dan Psikologi Kaunseling, Fakulti Pengajian Pendidikan. Slot terakhir iaitu bengkel dan perbincangan pula dikendalikan oleh Puan Kamariah Derasol, pegawai psikologi Seksyen Kaunseling dan Kerjaya.



Rata-rata peserta berpuas hati dengan perjalanan dan pengisian sepanjang program dan mengharapkan akan ada lagi program-program seumpama ini pada masa akan datang yang dianjurkan oleh Seksyen Kaunseling dan Kerjaya dan Kelab Rakan Siswa untuk memberi input-input berguna dan berbentuk ilmiah kepada para pelajar UPM. Pihak penganjur juga berpuas hati dengan komitmen dan kerjasama peserta serta mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung sejak dari peringkat peramcangan sehinggalah tamatnya bengkel ini.

Notakaki : Kelab Rakan Siswa juga sempat meraikan sambutan ulangtahun kelahiran ahli-ahlinya yang lahir pada bulan Febuari selepas tamat program. Selamat hari lahir diucapkan, didoakan semoga panjang umur, murah rezeki, sihat tubuh badan dan fikiran serta mencapai apa yang diimpikan. Amin.

Sunday, March 1, 2009

Inspirasi II : Kekayaan, Kejayaan dan Kasih Sayang


Seorang wanita mahu keluar dari rumahnya apabila dia terlihat tiga orang lelaki tua berjanggut panjang yang berwarna putih sedang duduk di halaman rumahnya. Dia tidak kenal akan mereka. Wanita itu bertanya, "Saya tidak fikir saya mengenali awak semua, tetapi saya pasti awak semua mesti sedang lapar. Silalah masuk ke rumah saya dan makan sesuatu."

"Adakah suami awak ada di rumah?", mereka bertanya.

"Tidak", wanita itu berkata. "Suami saya telah keluar".

"Jadi, kami tidak akan masuk", mereka menjawab.

Sewaktu suaminya pulang ke rumah pada petang itu, wanita itu pun memberitahunya kejadian tersebut.

"Pergi beritahu mereka bahawa saya telah balik dan menjemput mereka masuk ke dalam sekarang!"

Wanita itu keluar dan menjemput ketiga-tiga lelaki tua itu masuk ke dalam.

"Kami tidak akan masuk ke dalam rumah bersama-sama," jawab mereka.

"Mengapa begitu?" tanya wanita itu ingin tahu.

Salah seorang dari lelaki tua itu pun menerangkan :

"Namanya ialah Kekayaan," Dia berkata sambil menunjuk ke arah salah seorang kawannya, dan beralih menunjuk ke arah kawan yang seorang lagi." Dia adalah Kejayaan, dan saya adalah Kasih Sayang."

Dia menyambung lagi, "Sekarang masuklah semula kedalam rumah dan berbincanglah dengan suami awak, siapakah di antara kami bertiga yang kamu ingin jemput ke dalam rumah."

Wanita itu pun masuk semula ke dalam dan memberitahu suaminya perkara
tersebut. Suaminya berasa sungguh gembira.

"Bagusnya!!" dia berkata.

"Kalau macam tu jemputlah Kekayaan masuk. Biar dia masuk dan mengisi rumah kita ini dengan Kekayaan!"

Isterinya tidak bersetuju. "Abang, kenapa pula kita tidak menjemput Kejayaan?"

Kebetulan, menantu perempuan mereka juga sedang mendengar perbualan itu dari satu sudut rumah yang lain. Dia lalu menyampuk dan memberikan pandangannya :

"Bukankah lebih baik sekiranya kita menjemput Kasih Sayang? Rumah kita ini pasti akan diselubungi dengan Kasih Sayang!"

"Biarlah kita mengikut nasihat menantu kita itu," kata suami itu kepada
isterinya.

"Keluar dan jemputlah Kasih Sayang sebagai tetamu kita."

Wanita itu pun keluar dan bertanya kepada tiga lelaki tua, "Yang mana satu di antara kamu adalah Kasih Sayang? Silalah masuk dan jadi tetamu kami."

Kasih Sayang bangun dan mula berjalan ke arah rumah. Kedua-dua lelaki yang lain juga bangun dan mengikutinya. Terperanjat, wanita itu pun bertanya kepada Kekayaan dan Kejayaan :

"Saya cuma menjemput Kasih Sayang, mengapa kamu juga ikut sekali?"

Mereka semua menjawab: "Jika awak menjemput samada Kekayaan atau Kejayaan, yang lain akan tunggu diluar, tetapi oleh kerana awak telah menjemput Kasih Sayang, kemana-mana sahaja dia pergi, kami akan pergi bersamanya.Di mana ada Kasih Sayang, disitu juga ada Kekayaan dan Kejayaan!"

Pengajaran cerita : Kasih sayang merupakan perkara pokok dalam kehidupan seharian kita. Walau betapa kaya atau berjaya seseorang itu, dia tidak mungkin akan hidup bahagia dan gembira tanpa kasih sayang yang memberi makna kepada semua itu. Renung-renungkan dan selamat beramal.