Monday, March 2, 2009

Sambutan Menggalakkan Bengkel Jom Bersahabat

Pada 28 Febuari 2009 yang lalu, Kelab Rakan Siswa bersama Unit Pembangunan Kendiri Pelajar, Seksyen Kaunseling dan Kerjaya UPM telah menganjurkan Bengkel Jom Bersahabat! bertempat di Dewan Jauhari, Kolej Kediaman KOSASS, UPM. Bengkel setengah hari tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelajar-pelajar UPM di mana jumlah peserta yang hadir adalah sekitar 200 orang. Jumlah kehadiran peserta jauh melebihi sasaran awal pihak penganjur iaitu sekitar 100 sehingga 150 orang peserta memandangkan pada hari tersebut banyak lagi program yang berlangsung di kolej-kolej kediaman dan kawasan sekitar UPM dan tambahan pula hari Sabtu merupakan hari untuk kursus kokurikulum berkredit.



Bengkel ini diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar UPM mengenai kemahiran dan tatacara yang sesuai dalam menjalani kehidupan dan pergaulan seharian bersama rakan-rakan dan sahabat taulan. Pelbagai kemahiran seperti kemahiran memulakan perhubungan dan kemahiran melayan serta mendengar ditunjukkan secara teori dan praktikal di mana dua slot pertama diisi oleh dua orang penceramah dan slot terakhir diisi dengan perbincangan menangangi isu berkaitan pergaulan. Ceramah pertama disampaikan oleh Tuan Haji Ahmad Fadzli Yusof, seorang motivator dan penulis yang semakin menempa nama dalam bidang motivasi manakala ceramah kedua pula disampaikan oleh Encik Yusoff Ahmad, konsultan yang juga pensyarah kanan di Jabatan Pendidikan Kaunselor dan Psikologi Kaunseling, Fakulti Pengajian Pendidikan. Slot terakhir iaitu bengkel dan perbincangan pula dikendalikan oleh Puan Kamariah Derasol, pegawai psikologi Seksyen Kaunseling dan Kerjaya.



Rata-rata peserta berpuas hati dengan perjalanan dan pengisian sepanjang program dan mengharapkan akan ada lagi program-program seumpama ini pada masa akan datang yang dianjurkan oleh Seksyen Kaunseling dan Kerjaya dan Kelab Rakan Siswa untuk memberi input-input berguna dan berbentuk ilmiah kepada para pelajar UPM. Pihak penganjur juga berpuas hati dengan komitmen dan kerjasama peserta serta mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung sejak dari peringkat peramcangan sehinggalah tamatnya bengkel ini.

Notakaki : Kelab Rakan Siswa juga sempat meraikan sambutan ulangtahun kelahiran ahli-ahlinya yang lahir pada bulan Febuari selepas tamat program. Selamat hari lahir diucapkan, didoakan semoga panjang umur, murah rezeki, sihat tubuh badan dan fikiran serta mencapai apa yang diimpikan. Amin.

No comments: