Sunday, March 29, 2009

BERBAHAGIALAH


Berbahagialah. Berbahagialah dengan diri kamu sendiri. Bersyukurlah dengan apa yang dikurniakan Tuhan untukmu. Sedarilah bahawa manusia itu unik, tiada satupun manusia di dalam dunia ini yang sama. Percayalah. Hatta kembar paling seiras dalam dunia pun berbeza cap jarinya. Jangan kita jadi seperti orang lain, kerana hingga hujung nyawa pun tidak akan jadi. Jadilah diri kita sendiri. Jangan kita lihat orang lain semuanya sempurna, kita pula semuanya serba tak kena. Ketahuilah bahawa sesungguhnya Tuhan itu Maha Adil, dicipta setiap makhluk ada kelebihan ada kekurangan. Hanya Dia yang Maha Sempurna, Maha Kaya, Maha Bijaksana dan Maha Besar dalam segala-galanya. Kita sebagai makhluk sepatutnya bersyukur, bukannya kufur. Diberi betis nak peha. Tapi Tuhan Maha Pemurah, mana yang Dia berkenan nak beri, Dia beri. Tak seperti manusia yang menjadi hamba manusia, minta lebih sikit dari tuannya semestinya kena belasah. Itu pun kita rasa tak cukup lagi dengan apa yang dah dapat.

Tahu tak kenapa ada orang yang buta, bisu, pekak dan macam-macam kecacatan sejak lahir? Kata seorang ustaz, mereka tak sanggup menerima amanah untuk melihat, mendengar, bercakap dan sebagainya semasa membuat perjanjian dengan Tuhan sebelum rohnya ditiup ke dalam rahim ibunya untuk dilahirkan ke dunia. Tapi kita dengan bangganya menerima segala amanah, terima semua pancaindera kononnya mampu menjadi hamba yang baik. Tapi lihatlah diri kita sekarang, adakah kita mampu tunaikan janji kita pada Tuan Punya Dunia? Tepuk dada tanyalah iman. Sebesar mana pun pangkat, sebanyak mana pun harta, sekuat mana pun kita, seramai mana pun anak dan saudara, sebaik berpisah jasad dan nyawa, hanya amalan yang dibawa. Baik amalan, baiklah kita. Buruk amalan, buruklah nasib kita di sana. Banyak harta, tinggi pangkat, ramai kerabat bukanlah hakikat sebenar kebahagiaan. Itu hanya bahagia secara zahirnya tetapi bahagia yabg sebenar ada dalam diri yang terpendam bagai mutiara di lautan nurani.

Oleh itu, berbahagialah kita dengan diri ini. Diri yang bahagia membawa jiwa yang tenang. Jiwa yang tenang memiliki hati yang gembira dan seharusnya hati yang gembira perlu disusuli dengan kesyukuran pada Yang Esa. Tanda syukur itulah kita taat pada perintah-Nya, jauhi larangan-Nya. Semoga kita tergolong dikalangan orang-orang yang bahagia.

notakaki : Pentadbiran laman blog KRSUPM memohon maaf kerana telah lama tidak mengemaskini blog ini disebabkan terdapat sedikit masalah teknikal iaitu tidak boleh log in ke dalam akaun blogger. Namun demikian, masalah tersebut telah berjaya diatasi dan blog ini akan dikemaskini sekerap mungkin dengan pelbagai info, maklumat dan artikel untuk tatapan para pelawat sekalian. Terima kasih kerana mengunjungi blog ini.

No comments: