Tuesday, October 27, 2009

Tips Mengurangkan Tekanan


Pernahkah anda merasa begitu tertekan hingga tidak boleh tidur dan tidak boleh makan? Ingat semula pengalaman itu. Cuba ingat, bagaimana cara anda berdiri, bagaimana cara anda duduk dan bagaimana memek muka anda ketika anda merasa tertekan? Ingat?

Bagus. Jika anda hendak tahu, anda boleh mengurangkan rasa tekanan dengan hanya mengubah cara anda berdiri, duduk dan juga menukar memek muka anda. Sekarang, jika anda rasa tertekan, cuba berdiri tegak. Tarik nafas dalam-dalam. Tinggikan kedudukan dada anda seolah-olah anda baru menang satu anugerah dan anda merasa sangat bangga. Senyum. Senyum sampai nampak semua gigi anda. Apa yang anda rasa sekarang? Lebih baik kan? Ini adalah teknik ‘Fisiologi’ untuk mengurangkan tekanan perasaan.

Teknik ini adalah mudah. Ia mengatakan bahawa anda boleh mengubah apa yang anda rasa dengan hanya mengubah cara pergerakan tubuh badan anda. Mari kita cuba sekali lagi. Katakan anda hendak pergi ke meja anda untuk belajar. Buku-buku anda telah siap tersedia di atas meja. Cuba jalan perlahan-lahan dengan muka yang ‘monyok’ (boleh guna ke perkataan ni? ) Kalau tak faham monyok, buat muka ketika anda sangat kecewa. Jalan dengan langkah yang berat seolah-olah ada rantai di kaki anda dan anda tidak larat nak berjalan dengan tegak.

Apa yang anda rasa? Berat dan malas kan? Untuk mengatasinya, buat perkara sebaliknya. Berjalan dengan gagah dan buat muka riang gembira macam anda baru menang hadiah cabutan bertuah. Apa anda rasa? Bukan sahaja anda akan rasa lebih cergas, anda juga akan kurang merasa kesan tekanan perasaan yang melanda.

Jadi, ubah pergerakan anda dan ubah memek muka anda untuk mengurangkan tekanan perasaan yang anda rasa. Selamat mencuba.



Artikel dipetik dari http://www.motivasibelajar.com

Thursday, October 22, 2009

Mesyuarat Agung Tahunan Kelab Rakan Siswa 2009/2010


Adalah dimaklumkan bahawa KRS UPM akan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan bagi sesi 2009/2010 seperti ketetapan berikut :

Tarikh : 25 Oktober 2009
Masa : 11.00 pagi
Tempat : Gazebo (Pusat Pelajar Luar Kampus)


Semua ahli berdaftar diminta hadir bagi meneruskan kesinambungan kepimpinan KRS UPM pada masa akan datang. Andalah penentu segalanya!

p/s : Makanan dan merit disediakan.

Thursday, July 23, 2009

Selamat Datang Ahli Keluarga Baru KRS


Pada 19 Julai 2009 yang lalu bertempat di GAZEBO, KRS telah mengadakan perjumpaan sulung antara Penasihat, Ajkt dan Ahli KRS bagi semester pertama sesi 2009/2010. Lebih membanggakan apabila sambutan keahlian amat memberangsangkan daripada pelajar-pelajar baharu sesi 2009/2010. Difahamkan bahawa ramai lagi pelajar baharu dan lama yang berminat untuk menyertai KRS setelah melihat pencapaian dan aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan oleh kelab sepanjang semester lepas.



Penasihat II KRS, Puan Kamariah Derasol dalam ucapannya begitu berbesar hati dan berbangga dengan kelab ini yang telah banyak membawa nama universiti melalui program-program kemasyarakatan terutama di sekolah-sekolah dalam program berbentuk motivasi dan kem kepemimpinan. Beliau mengharapkan agar ahli-ahli baru bakal menjadi pelapis kepada kecemerlangan KRS pada masa mendatang selain dapat memberi komitmen yang terbaik kepada aktiviti-aktiviti kelab yang akan dirancang.


Pada perjumpaan kali pertama tersebut, semua ahli turut diberikan takwim perancangan program kelab sepanjang semester pertama sesi 2009/2010.



SELAMAT MENJADI SEBAHAGIAN KELUARGA KELAB RAKAN SISWA UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA!!!

Saturday, July 18, 2009

Kem Kepemimpinan SMT ERT Setapak

Pada 11 Julai 2009 yang lalu, KRS UPM telah dijemput untuk mengendalikan kem kepimpinan Pengawas, Pengawas Perpustakaan dan Pembimbing Rakan Sebaya. Seramai 15 orang fasilitator telah mencurahkan segala ilmu yang termampu untuk membimbing bakal-bakal pemimpin SMT ERT Setapak. Modul-mudul yang dijalankan berjaya menarik minat para peserta dan rata-rata memberi komitmen sepenuhnya sepanjang program berlangsung.

Pihak sekolah menyatakan rasa terima kasih yang tidak terhingga melalui guru penolong kanannya dan berharap agar pihak KRS dapat datang kembali dalam siri-siri kursus kepemimpina yang akan diadakan pada masa akan datang. Para fasilitator turut diberikan ole-ole berupa sebakul buah-buahan sebagai tanda mata daripada pihak sekolah diakhir program.

Tuesday, April 21, 2009

Untuk Renungan Bersama

Penceramah itu memulakan ceramahnya dengan membawa para hadirin memikirkan sejenak dengan satu hadis yang maknanya sedikit sebanyak "Dalam diri-diri kamu ada kebesaran Tuhan". Dia menyuruh para hadirin melihat kedua tapak tangan dan memerhatikan garis-garis di tapak tangan mereka. Garisan-garisan di tangan kiri menunjukkan angka 8 dan 1 dalam Bahasa Arab dan tangan kanan 1 dan 8 dan membawa ke jumlah 81 + 18 = 99 iaitu bilangan nama Allah.

Berikut adalah antara intipati ceramahnya secara ringkas:-

Cara Rasulullah s.a.w makan.

1. Cara makan, kenapa kita gunakan tangan? Mengikut cara Rasulullah s.a.w, baginda akan menggaulkan lauk dan nasi dengan tangan kanannya dan kemudian membiarkan sebentar. Baginda kemudiannya akan mengambil sedikit garam menggunakan jari kecilnya (jari kelingking), lalu baginda akan menghisap garam itu. Kemudian barulah baginda makan nasi dan lauknya.

Mengapa? Kerana kedua belah tangan kita ada mengeluarkan 3 jenis enzim, tetapi konsentrasi di tangan kanan kurang sedikit dari yang kiri. Ini adalah kerana enzim yang ada di tangan kanan itu merupakan enzim yang dapat menolong proses penghadaman (digestion), ia merupakan proses pertama dalam penghadaman.

Mengapa menghisap garam? Kerana garam adalah sumber mineral dari tanah yang diperlukan oleh badan kita. Dua cecah garam dari jari kita itu adalah sama dengan satu liter air mineral. Kita berasal dari tanah maka lumrahnya bahan yang asal dari bumi (tanah) inilah yang paling berkhasiat untuk kita. Kenapa garam? Selain dari sebab ia adalah sumber mineral, garam juga adalah penawar yang paling mujarab bagi keracunan, dan tahukah kita bahawa di hospital-hospital, rawatan pertama untuk menawarkan racun bagi kes-kes keracunan adalah dengan memberi Sodium Chloride, iaitu GARAM. Garam juga dapat menghalang sihir dan makhluk-makhluk halus yang ingin menggangu manusia.

2. Cara Rasulullah mengunyah - Rasulullah akan mengunyah sebanyak 40 kali untuk membiarkan makanan itu betul-betul lumat agar perut kita senang memproses makanan itu.

3. Membaca Basmalah (Bismillahirrahma Nirrahim). Membaca Basmalah sebelum makan untuk mengelakkan penyakit. Selain itu, ini kerana bakteria dan racun ada membuat perjanjian dengan Allah s.w.t uiait apabila Basmalah dibaca maka bakteria dan racun akan musnah dari sumber makanan itu.

Cara Rasulullah minum.

1. Janganlah kita minum berdiri walaupun ia makruh tetapi ia makruh yang menghampiri kepada haram. Jangan kita minum dari bekas yang besar dan jangan bernafas ketika sedang minum. Ini kerana apabila kita minum dari bekas yang besar, lumrahnya kita akan meneguk air dan dalam proses minum itu, kita tentu akan bernafas dan menghembuskan nafas dari hidung kita. Apabila kita menghembus nafas, kita akan mengeluarkan CO2 iaitu carbon dioxide, yang apabila bercampur dengan air (H20), akan menjadi H2CO3, iaitu sama dengan cuka, menyebabkan minuman itu bersifat asid.

2. Jangan meniup air yang panas, sebabnya sama seperti di atas. Cara minum, seteguk bernafas, seteguk bernafas sehingga habis.

Mengapa Islam menyuruh di sebat 100 kali orang belum berkahwin yang berzina, dan merejam sehingga mati orang yang sudah berkahwin yang berzina?

Ini jawapannya. Badan manusia akan mengeluarkan sel-sel darah putih atau antibiotik yang dapat melawan penyakit. Dan sel-sel ini terdapat di daerah tulang belakang, berdekatan dengan sum-sum tulang manusia. Lelaki yang belum berkahwin dia akan dapat mengeluarkan beribu-ribu sel ini, manakala lelaki yang sudah berkahwin hanya dapat menghasilkan 10 unit sel ini sehari, kerana antara sebabnya ialah kerana sel-sel lain akan hilang kerana perhubungan suami isteri. Jadi apabila lelaki yang belum berkahwin didapati salah kerana zina hendaklah disebat 100 kali. Ini adalah kerana apabila dia disebat di belakangnya, suatu amaran tentang kesakitan itu akan membuatkan penghasilan beribu sel antibiotik yang dapat melawan virus HIV jika ia ada di badannya, dengan itu dapatlah antibodi melawan virus HIV itu. Tetapi jika lelaki itu sudah berkahwin, walaupun disebat 100 kali ia akan tetap menghasilkan 10 unit antibodi sahaja, jadi dengan itu hukumannya direjam hingga mati agar dia tidak dapat merebakkan virus HIV itu.

Notakaki:
Petikan di atas merupakan sedikit sebanyak intisari ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Dr. Jamnul Azhar Mulkan, seorang doktor berkelulusan Ijazah Doktor Perubatan daripada Universiti Al-Azhar, Mesir. Beliau merupakan penceramah bebas yang tidak asing lagi yang sering muncul sebagai ahli panel dalam rancangan Halaqah di TV9. Beliau merupakan seorang yang fasih berbahasa Arab dan pernah menetap di Mesir selama lebih kurang 13 tahun. Selain itu, beliau juga pernah menyertai misi kemanusiaan ke Palestin bersama Dr. Sheikh Muszaphar Shukor serta misi bantuan kemanusiaan ke Darfur, Sudan.
. . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . .

Sedikit lagi informasi tambahan untuk pengetahuan kita bersama.

Kita sudah lama mengetahui bahawa setiap kali semua umat Islam diseluruh dunia menunaikan solat, kita akan sujud ke arah satu kiblat yang sama iaitu Ka'bah yang terletak di Mekah. Tapi tahukah anda mengapa ia terletak di Mekah al-Mukarramah dan mengapa ia empat persegi (cube). Ia terletak di posisinya sekarang kerana setelah dibuat kajian oleh para cendikiawan dari Pakistan dan Arab, didapati tempat terletaknya Ka'bah sekarang itu, adalah betul-betul di tengah bumi. Mengapa ia empat persegi, ia melambangkan perpaduan ummah yang bergerak maju bersama, kesatuan dan kesaksamaan, tidak seperti bentuk piramid, di mana ia diumpamakan seperti hanya seorang pemenang yang berada di atas setelah ia memijak-mijak yang lain. Dan antara lagi sebab mengapa 4 persegi melambangkan 4 imam besar, Maliki, Hambali, Hanafi dan Syafi'i melambangkan kebenaran keempat-empat Imam tersebut.

Sekian buat tatapan kita bersama. Diharapkan ia dapat memberi manfaat kepada kita sekalian. Renung-renungkan dan selamat beramal...

Friday, April 17, 2009

Tips Menghilangkan Rasa Panik Ketika Peperiksaan

Kita kadangkala berhadapan dengan keadaan panik semasa sedang menjawab soalan peperiksaan. Mungkin beberapa tips di bawah dapat membantu anda menghilang rasa panik tersebut :

1. Berhenti sebentar dan duduk dalam keadaan tegak serta tenangkan fikiran. Tarik nafas dalam-dalam dengan kiraan lapan dan hembus perlahan-lahan melalui mulut dalam kiraan enam. Ulang sehingga anda rasa tenang.

2. Jangan fikirkan kemampuan orang lain sebaliknya hanya fikirkan kemampuan anda untuk melakukan yang terbaik.

3. Sekiranya gagal menjawab soalan yang dihadapi, jawab soalan lain yang lebih mudah. Ia boleh mengurangkan tekanan anda.

4. Berdoa kepada Tuhan supaya anda dikurniakan ketenangan.

Jika anda berhasrat untuk berjaya, jangan hanya memandang ke tangga tetapi belajarlah untuk menaiki tangga tersebut. Terdapat banya kemungkinan untuk gagal kerana kejayaan hanya boleh dicapai dengan satu perkara iaitu 'USAHA'. Selagi kita mencuba dan berusaha, selagi itulah kita akan beroleh apa yang kita hajati.


KUATKAN AZAM DAN SEMANGAT ANDA!!!
KEJAYAAN DI TANGAN ANDA!!!

Kem Kemahiran Kaunseling

Kepada semua ahli KRS, Seksyen Kaunseling dan Kerjaya akan menganjurkan Kem Kemahiran Kaunseling seperti butiran berikut :


Tarikh : 30 April - 2 Mei 2009
Tempat : Kem Lembah Genting, Batang Kali, Selangor
Bayaran : PERCUMA


Jangan lepaskan peluang untuk menimba pelbagai ilmu mengenai kemahiran menolong yang akan disampaikan oleh pegawai-pegawai psikologi Seksyen Kaunseling dan Kerjaya. Sebagai tambahan, kem ini merupakan kursus fasa tiga sebelum mana-mana ahli KRS layak dicalonkan sebagai ahli Pembimbing Rakan Siswa UPM.


JANGAN KETINGGALAN !!! RUGI KALAU TAK PERGI...

Saturday, April 4, 2009

Strategi Menghadapi Peperiksaan


Persediaan Menghadapi Peperiksaan
1. Bentuk pelan persediaan untuk peperiksaan.
2. Mengulangkaji nota kuliah dan rujukan lain.
3. Menumpukan idea utama yang terkandung di dalam objektif kursus.
4. Selalu membuat latihan.
5. Buat dan jawab sendiri soalan.
6. Wujudkan suasana ujian semasa mengulangkaji.

Strategi Menduduki Peperiksaan
1. Datang awal daripada masa yang ditetapkan.
2. Keluarkan maklumat daripada memori.
3. Baca arahan dengan teliti dan berhati-hati.
4. Peruntukkan masa dengan bijaksana.
5. Sentiasa relaks semasa menjawab peperiksaan.
6. Cari klu jawapan dalam soalan.
7. Jawab semua soalan walaupun ada yang ragu-ragu. Jangan kosongkan.
8. Jangan tukar-tukar jawapan sehingga mengelirukan diri.
9. Gunakan masa sepenuhnya.

Kredit Ilustrasi


Cara Mengekalkan Motivasi Belajar (MURDER)
1. MOOD - Pastikan anda mempunyai mood untuk belajar.
2. UNDERSTAND - Fahami apa yang anda pelajari.
3. RECALL - Ingat semula apa yang telah anda belajar.
4. DIGEST - Hadamkan di dalam minda apa yang telah anda pelajari.
5. EXPAND - Kembangkan idea daripada apa yang anda pelajari.
6. REVIEW - Imbas semula perkara yang telah anda pelajari.

Petikan daripada Modul Teknik Belajar oleh Prof. Dr. Hj. Turiman Suandi, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Sekolah Pengajian Siswazah, Universiti Putra Malaysia.

Friday, April 3, 2009

Jom Sertai KEM PEMANTAPAN PEMBIMBING RAKAN SISWA


Semua ahli KRS dijemput untuk menyertai Kem Pemantapam Pembimbing Rakan Siswa yang akan diadakan di Cameron Highland, Pahang pada 28 hingga 30 April 2009 nanti. Bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM25 sahaja dan tempat adalah terhad.

Pelbagai aktiviti menarik telah diatur termasuk lawatan ke Honey Bee Farm, Rose Valley, Sungai Palas Tea Factory (kilang teh BOH), Big Red Strawberry Farm dan Kea Farm selain beberapa program berkaitan pembimbing rakan siswa seperti Kemahiran Menolong, Sukaneka Pembangunan Kendiri dan Modul Pembangunan Insan. Dalam Program ini juga akan diadakan Hari Keluarga KRS bagi merapatkan lagi hubungan antara ahli kelab dengan SKK yang telah sedia rapat.

Untuk mendapatkan borang penyertaan atau mahukan sebarang maklumat lanjut, sila hubungi Saudari Zarina Zaimi (019-6785292) atau Saudari Madihah Sabariah Muhajir (019-5702387). Tarikh tutup penyertaan adalah pada 15 April 2009. Jom kita sertai beramai-ramai.

Sunday, March 29, 2009

BERBAHAGIALAH


Berbahagialah. Berbahagialah dengan diri kamu sendiri. Bersyukurlah dengan apa yang dikurniakan Tuhan untukmu. Sedarilah bahawa manusia itu unik, tiada satupun manusia di dalam dunia ini yang sama. Percayalah. Hatta kembar paling seiras dalam dunia pun berbeza cap jarinya. Jangan kita jadi seperti orang lain, kerana hingga hujung nyawa pun tidak akan jadi. Jadilah diri kita sendiri. Jangan kita lihat orang lain semuanya sempurna, kita pula semuanya serba tak kena. Ketahuilah bahawa sesungguhnya Tuhan itu Maha Adil, dicipta setiap makhluk ada kelebihan ada kekurangan. Hanya Dia yang Maha Sempurna, Maha Kaya, Maha Bijaksana dan Maha Besar dalam segala-galanya. Kita sebagai makhluk sepatutnya bersyukur, bukannya kufur. Diberi betis nak peha. Tapi Tuhan Maha Pemurah, mana yang Dia berkenan nak beri, Dia beri. Tak seperti manusia yang menjadi hamba manusia, minta lebih sikit dari tuannya semestinya kena belasah. Itu pun kita rasa tak cukup lagi dengan apa yang dah dapat.

Tahu tak kenapa ada orang yang buta, bisu, pekak dan macam-macam kecacatan sejak lahir? Kata seorang ustaz, mereka tak sanggup menerima amanah untuk melihat, mendengar, bercakap dan sebagainya semasa membuat perjanjian dengan Tuhan sebelum rohnya ditiup ke dalam rahim ibunya untuk dilahirkan ke dunia. Tapi kita dengan bangganya menerima segala amanah, terima semua pancaindera kononnya mampu menjadi hamba yang baik. Tapi lihatlah diri kita sekarang, adakah kita mampu tunaikan janji kita pada Tuan Punya Dunia? Tepuk dada tanyalah iman. Sebesar mana pun pangkat, sebanyak mana pun harta, sekuat mana pun kita, seramai mana pun anak dan saudara, sebaik berpisah jasad dan nyawa, hanya amalan yang dibawa. Baik amalan, baiklah kita. Buruk amalan, buruklah nasib kita di sana. Banyak harta, tinggi pangkat, ramai kerabat bukanlah hakikat sebenar kebahagiaan. Itu hanya bahagia secara zahirnya tetapi bahagia yabg sebenar ada dalam diri yang terpendam bagai mutiara di lautan nurani.

Oleh itu, berbahagialah kita dengan diri ini. Diri yang bahagia membawa jiwa yang tenang. Jiwa yang tenang memiliki hati yang gembira dan seharusnya hati yang gembira perlu disusuli dengan kesyukuran pada Yang Esa. Tanda syukur itulah kita taat pada perintah-Nya, jauhi larangan-Nya. Semoga kita tergolong dikalangan orang-orang yang bahagia.

notakaki : Pentadbiran laman blog KRSUPM memohon maaf kerana telah lama tidak mengemaskini blog ini disebabkan terdapat sedikit masalah teknikal iaitu tidak boleh log in ke dalam akaun blogger. Namun demikian, masalah tersebut telah berjaya diatasi dan blog ini akan dikemaskini sekerap mungkin dengan pelbagai info, maklumat dan artikel untuk tatapan para pelawat sekalian. Terima kasih kerana mengunjungi blog ini.

Saturday, March 28, 2009

Laporan Kem Jalinan Kasih Menara Ilmu

Pada 20 hingga 22 Mac 2009 yang lalu, sekali lagi KRS telah berjaya menganjurkan satu program iaitu Kem Jalinan Kasih Menara Ilmu bertempat di Pusat Pemantapan Akidah Jakim, Jelebu, Negeri Sembilan. Program ini diadakan dengan kerjasama daripada Pejabat Daerah Jelebu, Pejabat Pelajaran Daerah Jelebu, Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan, Pejabat Ahli Parlimen Jelebu serta Pusat Pemantapan Akidah JAKIM Jelebu.



Di dalam kem ini, para peserta didedahkan dengan pelbagai LDK bertujuan untuk membentuk matlamat dan kaedah-kaedah untuk mencapai matlamat tersebut. Beberapa slot ceramah yang disampaikan oleh Encik Pauzi Abd Karim dan Encik Zaliazam Mohamad telah berjaya menarik minat para peserta dan memberi pelbagai input berguna kepada mereka.

Walaupun kehadiran peserta jauh lebih sedikit daripada jumlah sasaran, namun kem ini boleh dikatakan berjaya mencapai objektifnya. Bagi para fasilitator, kualiti lebih dipentingkan berbanding kuantiti supaya segala usaha yang dijalankan untuk memberi sumbangan kepada masyarakat dapat disempurnakan.



Perasmian majlis penutup telah disempurnakan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan iaitu YB Dato' Razak Mansor. Kem ini juga turut mendapat liputan media iaitu Akhbar Sinar Harian Edisi Melaka dan Negeri Sembilan(klik di sini).

Sunday, March 15, 2009

Kem Jalinan Kasih Menara Ilmu

Kelab Rakan Siswa akan menganjurkan Kem Jalinan Kasih Menara Ilmu bertempat di Pusat Pemantapan Akidah JAKIM, Jelebu, Negeri Sembilan. Program ini mendapat kerjasama daripada Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM, Pejabat Daerah Jelebu, Pejabat Pelajaran Daerah Jelebu, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Daerah Jelebu dan Pusat Pemantapan Akidah JAKIM.

Program ini akan berlangsung bermula daripada 20 - 22 Mac 2009 ini bertujuan untuk memberi motivasi kepada lebih kurang 100 orang anak-anak yatim dan miskin sekitar daerah Jelebu yang dipilih daripada lima buah sekolah yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun ini.

Majlis perasmian penutup akan disempurnakan oleh YB Dato' Razak bin Mansor, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan. Diharapkan agar ahli kelab KRS yang terpilih untuk menggalas tanggungjawab bagi menjayakan kem ini dapat mencapai ojektif yang telah dirangka. Pihak engurusan KRS mengucapkan SELAMAT MAJU JAYA.

Monday, March 2, 2009

Sambutan Menggalakkan Bengkel Jom Bersahabat

Pada 28 Febuari 2009 yang lalu, Kelab Rakan Siswa bersama Unit Pembangunan Kendiri Pelajar, Seksyen Kaunseling dan Kerjaya UPM telah menganjurkan Bengkel Jom Bersahabat! bertempat di Dewan Jauhari, Kolej Kediaman KOSASS, UPM. Bengkel setengah hari tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelajar-pelajar UPM di mana jumlah peserta yang hadir adalah sekitar 200 orang. Jumlah kehadiran peserta jauh melebihi sasaran awal pihak penganjur iaitu sekitar 100 sehingga 150 orang peserta memandangkan pada hari tersebut banyak lagi program yang berlangsung di kolej-kolej kediaman dan kawasan sekitar UPM dan tambahan pula hari Sabtu merupakan hari untuk kursus kokurikulum berkredit.



Bengkel ini diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar UPM mengenai kemahiran dan tatacara yang sesuai dalam menjalani kehidupan dan pergaulan seharian bersama rakan-rakan dan sahabat taulan. Pelbagai kemahiran seperti kemahiran memulakan perhubungan dan kemahiran melayan serta mendengar ditunjukkan secara teori dan praktikal di mana dua slot pertama diisi oleh dua orang penceramah dan slot terakhir diisi dengan perbincangan menangangi isu berkaitan pergaulan. Ceramah pertama disampaikan oleh Tuan Haji Ahmad Fadzli Yusof, seorang motivator dan penulis yang semakin menempa nama dalam bidang motivasi manakala ceramah kedua pula disampaikan oleh Encik Yusoff Ahmad, konsultan yang juga pensyarah kanan di Jabatan Pendidikan Kaunselor dan Psikologi Kaunseling, Fakulti Pengajian Pendidikan. Slot terakhir iaitu bengkel dan perbincangan pula dikendalikan oleh Puan Kamariah Derasol, pegawai psikologi Seksyen Kaunseling dan Kerjaya.



Rata-rata peserta berpuas hati dengan perjalanan dan pengisian sepanjang program dan mengharapkan akan ada lagi program-program seumpama ini pada masa akan datang yang dianjurkan oleh Seksyen Kaunseling dan Kerjaya dan Kelab Rakan Siswa untuk memberi input-input berguna dan berbentuk ilmiah kepada para pelajar UPM. Pihak penganjur juga berpuas hati dengan komitmen dan kerjasama peserta serta mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung sejak dari peringkat peramcangan sehinggalah tamatnya bengkel ini.

Notakaki : Kelab Rakan Siswa juga sempat meraikan sambutan ulangtahun kelahiran ahli-ahlinya yang lahir pada bulan Febuari selepas tamat program. Selamat hari lahir diucapkan, didoakan semoga panjang umur, murah rezeki, sihat tubuh badan dan fikiran serta mencapai apa yang diimpikan. Amin.

Sunday, March 1, 2009

Inspirasi II : Kekayaan, Kejayaan dan Kasih Sayang


Seorang wanita mahu keluar dari rumahnya apabila dia terlihat tiga orang lelaki tua berjanggut panjang yang berwarna putih sedang duduk di halaman rumahnya. Dia tidak kenal akan mereka. Wanita itu bertanya, "Saya tidak fikir saya mengenali awak semua, tetapi saya pasti awak semua mesti sedang lapar. Silalah masuk ke rumah saya dan makan sesuatu."

"Adakah suami awak ada di rumah?", mereka bertanya.

"Tidak", wanita itu berkata. "Suami saya telah keluar".

"Jadi, kami tidak akan masuk", mereka menjawab.

Sewaktu suaminya pulang ke rumah pada petang itu, wanita itu pun memberitahunya kejadian tersebut.

"Pergi beritahu mereka bahawa saya telah balik dan menjemput mereka masuk ke dalam sekarang!"

Wanita itu keluar dan menjemput ketiga-tiga lelaki tua itu masuk ke dalam.

"Kami tidak akan masuk ke dalam rumah bersama-sama," jawab mereka.

"Mengapa begitu?" tanya wanita itu ingin tahu.

Salah seorang dari lelaki tua itu pun menerangkan :

"Namanya ialah Kekayaan," Dia berkata sambil menunjuk ke arah salah seorang kawannya, dan beralih menunjuk ke arah kawan yang seorang lagi." Dia adalah Kejayaan, dan saya adalah Kasih Sayang."

Dia menyambung lagi, "Sekarang masuklah semula kedalam rumah dan berbincanglah dengan suami awak, siapakah di antara kami bertiga yang kamu ingin jemput ke dalam rumah."

Wanita itu pun masuk semula ke dalam dan memberitahu suaminya perkara
tersebut. Suaminya berasa sungguh gembira.

"Bagusnya!!" dia berkata.

"Kalau macam tu jemputlah Kekayaan masuk. Biar dia masuk dan mengisi rumah kita ini dengan Kekayaan!"

Isterinya tidak bersetuju. "Abang, kenapa pula kita tidak menjemput Kejayaan?"

Kebetulan, menantu perempuan mereka juga sedang mendengar perbualan itu dari satu sudut rumah yang lain. Dia lalu menyampuk dan memberikan pandangannya :

"Bukankah lebih baik sekiranya kita menjemput Kasih Sayang? Rumah kita ini pasti akan diselubungi dengan Kasih Sayang!"

"Biarlah kita mengikut nasihat menantu kita itu," kata suami itu kepada
isterinya.

"Keluar dan jemputlah Kasih Sayang sebagai tetamu kita."

Wanita itu pun keluar dan bertanya kepada tiga lelaki tua, "Yang mana satu di antara kamu adalah Kasih Sayang? Silalah masuk dan jadi tetamu kami."

Kasih Sayang bangun dan mula berjalan ke arah rumah. Kedua-dua lelaki yang lain juga bangun dan mengikutinya. Terperanjat, wanita itu pun bertanya kepada Kekayaan dan Kejayaan :

"Saya cuma menjemput Kasih Sayang, mengapa kamu juga ikut sekali?"

Mereka semua menjawab: "Jika awak menjemput samada Kekayaan atau Kejayaan, yang lain akan tunggu diluar, tetapi oleh kerana awak telah menjemput Kasih Sayang, kemana-mana sahaja dia pergi, kami akan pergi bersamanya.Di mana ada Kasih Sayang, disitu juga ada Kekayaan dan Kejayaan!"

Pengajaran cerita : Kasih sayang merupakan perkara pokok dalam kehidupan seharian kita. Walau betapa kaya atau berjaya seseorang itu, dia tidak mungkin akan hidup bahagia dan gembira tanpa kasih sayang yang memberi makna kepada semua itu. Renung-renungkan dan selamat beramal.

Wednesday, February 25, 2009

Bengkel "JOM BERSAHABAT!"


KETAHUI TIPS DAN PETUA MENANGANI KONFLIK DALAM PERHUBUNGAN ANDA DAN SAHABAT DI SEKELILING ANDA.
TEROKAI JUGA PERSONALITI DIRI DAN SAHABAT ANDA.


Seluruh warga UPM dijemput untuk menghadiri Bengkel Jom Bersahabat! anjuran Unit Pembangunan Kendiri Seksyen Kaunseling dan Kerjaya denga kerjasama Kelab Rakan Siswa Universiti Putra Malaysia. Jangan lepaskan peluang untuk bertemu dengan penceramah jemputan iaitu Tuan Haji Ahmad Fadzli Yusof (motivator dan penulis buku-buku motivasi) dan Encik Yusoff Ahmad (konsultan motivasi dan pensyarah Fakulti Pengajian Pendidikan UPM).


BILA???
28 Febuari 2009 (Sabtu)
8.00pg -1.00tgh
Dewan Jauhari, KOSASS.


CABUTAN BERTUAH MENANTI ANDA!!!


Datanglah beramai-ramai bersama sahabat-sahabat anda. Jangan lepaskan peluang keemasan ini. Merit dan makanan (Sarapan pagi dan makan tengah hari) disediakan.

Monday, February 23, 2009

Basic Training of Facilitator KRS : Menimba Ilmu Sambil Bergembira


Pada 21 hingga 22 Febuari yang lalu, satu lagi program Kelab Rakan Siswa iaitu Basic Training of Facilitator telah diadakan bertempat di KM Chalet, Pantai Kamunting, Kuala Sg. Baru, Melaka. Program ini diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada ahli-ahli KRS mengenai kemahiran asas sebagai seorang fasilitator disamping sebagai kursus siri pertama daripada tiga siri kursus yang perlu diikuti oleh ahli KRS sebagai prasyarat untuk ditauliahkan sebagai Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) UPM. Slot ceramah dan LDK yang disampaikan oleh para pegawaiu psikologi Seksyen Kaunseling dan Kerjaya UPM banyak memberi input berguna kepada peserta kursus bagi menjalankan tugas sebagai fasilitator pada masa hadapan.





Selain daripada ceramah, peserta juga dapat bergembira dan bersuka ria sambil dapat mengukuhkan ikatan silaturahim antara ahli kelab kerana kursus yang dijalankan lebih bersifat santai. Kegembiraan jelas terpancar disetiap wajah peserta apabila diberi peluang untuk bermandi manda di pantai yang indah serta bermain kayak dan rakit. Kesemua peserta kursus begitu berpuas hati dan berasa begitu seronok sepanjang mengikuti program ini sehinggakan ada sebahagian daripada mereka merasakan dua hari yang dilalui terasa begitu cepat berlalu.





Pihak pengurusan KRS mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini. Ucapan tahniah juga diucapkan kepada kesemua peserta yang berjaya melalui kursus siri pertama ini dan diharapkan agar dapat mengikuti siri seterusnya yang akan diadakan di Cameron Highland sekitar bulan April nanti.

Friday, February 20, 2009

Inspirasi I : Tempayan Retak


Seorang tukang air memiliki dua tempayan besar, masing-masing bergantung pada kedua ujung sebuah pemikul yang dibawa menyilang pada bahunya. Satu daripada tempayan itu retak, sedangkan tempayan yang satunya lagi tidak. Jika tempayan yang tidak retak itu selalu dapat membawa air penuh setelah perjalanan panjang dari mata air ke rumah majikannya, tempayan itu hanya dapat membawa air setengah penuh.

Selama dua tahun, hal ini terjadi setiap hari. Si tukang air hanya dapat membawa satu setengah tempayan air ke rumah majikannya. Tentu saja si tempayan yang tidak retak merasa bangga akan prestasinya kerana dapat menunaikan tugasnya dengan sempurna. Namun si tempayan retak yang malang itu merasa malu sekali akan ketidaksempurnaannya dan merasa sedih sebab ia hanya dapat memberikan setengah dari jumlah air yang seharusnya dapat diberikannnya.

Setelah dua tahun tertekan oleh kegagalan pahit ini, tempayan retak itu berkata kepada si tukang air, "Saya sungguh malu pada diri saya sendiri, dan saya ingin mohon maaf kepadamu."

"Kenapa?" tanya si tukang air, "Kenapa kamu merasa malu?"

"Saya hanya mampu, selama dua tahun ini, membawa setengah bahagian air dari yang seharusnya dapat saya bawa kerana adanya retakan pada sisi saya yang telah membuat air yang saya bawa bocor sepanjang jalan menuju rumah majikan kita. Kerana cacatku itu, saya telah membuatmu rugi." kata tempayan itu.

Si tukang air merasa kasihan pada si tempayan retak, dan dalam belas kasihannya, dia berkata, "Jika kita kembali ke rumah majikan esok, aku ingin kamu memperhatikan bunga-bunga indah di sepanjang jalan."

Benar, ketika mereka naik ke bukit, si tempayan retak memerhatikan dan baru menyedari bahawa ada bunga-bunga indah di sepanjang tepi jalan, dan itu membuatnya sedikit terhibur. Namun pada akhir perjalanan, ia kembali sedih kerana separuh air yang dibawanya telah bocor, dan tempayan retak itu meminta maaf pada si tukang air atas kegagalannya.

Si tukang air berkata kepada tempayan itu, "Apakah kamu memerhatikan adanya bunga-bunga di sepanjang jalan di sisimu tapi tidak ada bunga di sepanjang jalan di sisi tempayan yang lain yang tidak retak itu. Itu kerana aku selalu menyedari akan cacatmu dan aku memanfaatkannya.Aku telah menanam benih-benih bunga di sepanjang jalan di sisimu dan setiap hari jika kita berjalan pulang dari mata air, kamu mengairi benih-benih itu. Selama dua tahun ini aku telah dapat memetik bunga-bunga indah itu untuk menghias meja majikan kita. Tanpa kamu sebagaimana kamu ada, majikan kita tak akan dapat menghias rumahnya seindah sekarang."

Pengajaran : Setiap dari kita memiliki cacat dan kekurangan kita sendiri. Kita semua adalah tempayan retak. Namun jika kita mahu, Tuhan akan menggunakan kekurangan kita untuk menghias-Nya. Di mata Tuhan yang bijaksana, tak ada yang terbuang percuma. Jangan takut akan kekuranganmu. Kenalilah kelemahanmu dan kamu pun dapat menjadi sebahagian keindahan Tuhan. Ketahuilah, di dalam kelemahan kita, kita akan menemukan kekuatan kita. Renung-renungkan dan selamat beramal.

Friday, February 13, 2009

Basic Training of Fasilitator 2009

Kelab Rakan Siswa akan menganjurkan program Basic Training of Fasilitator seperti butiran berikut :


Tarikh : 21 - 22 Febuari 2009
Tempat : KM Chalet, Kuala Linggi, Melaka
Yuran : RM20 (Chalet 4 orang sebilik, makanan serta pakej program)


Penyertaan terbuka kepada sesiapa yang berminat. Sila berhubung dengan Saudari Madihah Sabariah Muhajir di talian 019-5702387 untuk mendapatkan borang penyertaan atau mendapatkan penjelasan berkaitan program. Tempat terhad. Tarikh tutup penyertaan adalah pada 18 Febuari 2009.



Monday, February 9, 2009

Jaket Korporat KRS


Kepada mana-mana ahli KRS yang berminat untuk membeli jaket korporat KRS (seperti gambar di atas) sila berhubung dengan Saudari Shahidatun Dalila Zakaria di talian 0125024494 dan membuat bayaran sebanyak RM50.00 sebelum 13 Febuari 2009. Bayaran adalah termasuk kos sulaman logo. Saiz yang tersedia adalah bermula daripada saiz M sehingga 5XL. Contoh boleh dilihat semasa anda membuat tempahan.

Tuesday, February 3, 2009

Kem Transformasi Jatidiri SMART 2009

Pada 30 Januari sehingga 1 Febuari 2009 yang lalu, Kelab Rakan Siswa dengan kerjasama Unit Kaunseling dan Kerjaya SMK Abdul Rahman Talib, Teluk Intan, Perak telah mengadakan Kem Transformasi Jatidiri bertempat di Hutan Lipur Kuala Woh, Tapah, Perak untuk melatih para pengawas yang telah dilantik oleh pihak sekolah. Kem selama tiga hari dua malam ini bertujuan untuk memupuk sifat kepemimpinan di dalam diri setiap pelajar yang telah diberi peluang untuk menjadi pengawas. Pelbagai modul telah disusun untuk mencungkil bakat kepemimpinan para pengawas tersebut. Walaupun beberapa modul terpaksa dibatalkan dan diubah kepada modul lain disebabkan faktor cuaca dan keadaan persekitaran yang tidak mengizinkan, namun para peserta dilihat terus bersemangat untuk meneruskan program yang telah dirancang sehingga ke akhir kem. Pihak SMK Abdul Rahman Talib melalui Guru Penolong Kanan semasa ucapan penutupan kem melahirkan rasa gembira dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada para instruktor daripada Kelab Rakan Siswa yang telah bertungkus lumus menjayakan kem ini. Beliau juga berharap agar kerjasama antara pihak sekolah dengan Kelab Rakan Siswa dapat diteruskan pada masa akan datang dalam menganjurkan kem-kem motivasi bagi memberi peluang kepada seluruh pelajar SMART mencungkil potensi yang ada di dalam diri mereka.





Wednesday, January 28, 2009

Kem Induksi Kelab Rakan Siswa 2009

Pada 26 - 28 Januari 2009 yang lalu, Kelab Rakan Siswa telah menganjurkan satu kem induksi bertempat di Kompleks Rakan Muda Puchong bagi memberi pendedahan kepada ahli KRS yang baru mengenai apa itu KRS dan peranan setiap ahli dalam membantu dan membimbing rakan-rakan sebaya dalam menongkah arus kehidupan kampus yang tidak menentu. Kem yang dianjurkan sepenuhnya oleh ahli jawatankuasa tertinggi KRS ini juga bertujuan memberi gambaran yang jelas kepada setiap ahli bahawa stigma mereka selama ini yang melabelkan KRS sebagai sebuah kelab yang tertutup kepada aspek kauseling semata-mata adalah salah.




Para peserta didedahkan bahawa ahli KRS sebenarnya adalah sebagai titian penghubung antara para pelajar UPM dengan Seksyen Kaunseling dan Kerjaya bagi mendapatkan bantuan pegawai-pegawai psikologi bertauliah untuk membantu mereka mencari jalan penyelesaian kepada setiap permasalahan yang dihadapi. Sepajang kem ini juga, peserta didedahkan dengan kemahiran melayan dan mendengar serta kemahiran 'Team Building' yang disampaikan oleh kaunselor pelatih di seksyen. Di samping itu, peserta diberi peluang untuk merasai modul-modul baru yang boleh mereka aplikasikan pada masa hadapan.




Pelbagai maklum balas diterima oleh setiap exco samada yang berbentuk positif mahupun negatif. Segala kelemahan yang dihadapi sepanjang kem ini akan cuba diperbaiki pada masa hadapan. Apa yang penting, matlamat untuk mewujudkan semangat kekitaan dan kekeluargaan dikalangan ahli KRS boleh dikatakan tercapai apabila dinilai secara keseluruhan. Semoga perhubungan yang terbina sepanjang kem ini dapat terus berkekalan demi menjayakan setiap aktiviti yang dirancang dan dalam masa yang sama mengharumkan nama KRS di persada universiti khasnya dan dipersada negara amnya.



Saturday, January 24, 2009

National Conference : Malaysia Quality Graduates & Employability

Pada 16 - 18 Januari 2009 yang lalu, Kelab Rakan Siswa (KRS) dan Kelab Kepimpinan Putra (Keputra) telah menghantar wakli ke program National Conference : Malaysia Quality Graduates & Employability anjuran Jawatankuasa Pembangunan Mahasiswa Dewan Penginapan Pelajar (JPMDPP) Proton di bawah Biro Latihan Akademik, Universiti Utara Malaysia bertempat di Pusat Konvensyen, Universiti Utara Malaysia.
Persidangan ini bertujuan untuk mendapatkan himpunan pandangan, pengalaman dan perancangan tokoh-tokoh pengurusan Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, tokoh-tokoh pengurusan dan pentadbiran kementerian-kementerian dan bahagian-bahagian yang membantu mengurus kualiti pendidikan dan kualiti tenaga manusia serta tokoh-tokoh pengurusan dan perkhidmatan sektor awam, badan berkanun dan sektor swasta.




Adalah diharapkan dengan gabungan idea, pandangan dan pendapat tokoh-tokoh pemimpin dan pemikir ini akan melahirkan graduan yang berkualiti seterusnya membekalkan tenaga manusia berkualiti untuk perkhidmatan dan pekerjaan. Diharapkan juga dengan pertemuan ini akan menghasilkan satu usahasama yang amat berfaedah dalam pembangunan insan, masyarakat dan negara.
Melalui pertemuan seumpama ini, para peserta dapat didedahkan dengan perkembangan dunia pekerjaan disamping meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan graduan berkualiti di dalam pasaran pekerjaan. Disamping itu, pertemuan ini juga dapat mengukuhkan ikatan antara pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta bagi membolehkan berlakunya pertukaran idea antara institusi pengajian dan pada masa yang sama menjadi platform untuk para peserta menyuarakan pendapat mengenai kualiti pendidikan yang mereka terima hari ini.

Tuesday, January 13, 2009

Kem Induksi Kelab Rakan Siswa



Perhatian kepada semua ahli Kelab Rakan Siswa UPM, anda diwajibkan untuk menyertai Kem Induksi KRS seperti butiran berikut :

Tarikh : 26 - 28 Januari 2009
Tempat : Kompleks Rakan Muda Puchong
Konsep : Santai
Bayaran : RM15

Tarikh tutup penyertaan adalah pada 14 Januari 2009. Sebarang pertanyaan sila hubungi Saudari Madihah Sabariah Muhajir di talian 019-5702387.
____________________________________________________________________

Jadual perjalanan

25 Januari 2009 : Semua Exco berkumpul di Balai Seni Budaya Kolej Canselor jam 11 pagi.
26 Januari 2009 : Semua peserta berkumpul di Balai Seni Budaya Kolej Canselor jam 10 pagi.
____________________________________________________________________

Senarai keperluan peserta

1. Pakaian sukan.
2. Pakaian semi-formal secukupnya.
3. Keperluan peribadi.
4. Ubat-ubatan peribadi (jika ada).

Saturday, January 10, 2009

Ahli Baru Keluarga Encik Zam

Sekalung tahniah diucapkan kepada penasihat Kelab Rakan Siswa Universiti Putra Malaysia, Encik Zaliazam Mohamad dan isteri, Puan Rafidah Hj Mamat di atas kelahiran cahaya mata baru iaitu seorang anak lelaki. Bayi comel yang dinamakan Muhammad Darwish Atiqqurahman itu dilahirkan di Pusat Rawatan Islam Az-Zahrah, Bangi pada 5 Januari 2009.



Encik Zam bersama keluarga tercinta


Muhammad Darwish merupakan anak kedua bagi pasangan Encik Zaliazam dan isteri yang sebelum ini telah dikurniakan seorang puteri iaitu Nur Nadratul Hanisah. Semoga dengan kelahiran si cilik ini akan menambah seri di dalam keluarga beliau dan diharapkan agar keluarga beliau sentiasa bahagia hendaknya. Didoakan juga semoga bayi ini suatu hari nanti apabila dewasa kelak akan menjadi seorang anak yang soleh dan insan yang berguna kepada bangsa, negara dan yang paling penting kepada agama.



Muhammad Darwish Atiqqurahman


Tahniah sekali lagi kepada Encik Zaliazam dan isteri.

Friday, January 2, 2009

Perjumpaan Pertama Kelab Rakan Siswa

Kepada semua ahli KRS UPM, satu perjumpaan akan diadakan seperti ketetapan berikut :

Tarikh : 11 Januari 2009/14 Muharam 1430H
Masa : 10 pagi
Tempat : Pusat Kegiatan Mahasiswa Luar Kampus (Gazebo)

Setiap ahli baru dan lama diwajibkan untuk menghadiri perjumpaan ini sebagai pengesahan bahawa anda adalah ahli KRS. Sila bawa bersama :
1. Borang keahlian yang telah lengkap diisi.
2. Yuran pendaftaran kelab sebanyak RM10.00.*
3. Dua keping gambar berukuran pasport.**

* Yuran pendaftaran adalah bertujuan untuk bayaran kad keahlian serta lanyard kelab.
** Gambar adalah untuk dilekatkan bersama borang pendaftaran dan kad ahli KRS.

Harap maklum dan terima kasih.